Saturday, July 6, 2013

GAMIS & Penggulingan Pres.Mesir

Pendirian Rasmi Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia, 
06 Julai 2013,
27 Sya'aban 1434 H.

GAMIS melahirkan rasa kesal terhadap penggulingan Dr Muhammad Mursi sebagai Presiden Mesir yang dilantik secara rasmi melalui sistem pilihanraya pada 24 Jun 2012 tahun lepas. 

Dalam tempoh 377 hari ( 1 tahun 12 hari ), realitinya sudah pasti satu jangka masa yang sangat singkat untuk melakukan fasa perubahan
 menyeluruh terhadap negara Mesir setelah 30 tahun negara itu ditadbir oleh Muhammad Hosni Sayid Sayid Ibrahim Mubarak, Presiden Mesir ke - empat. 

Ditambah juga, sepanjang tempoh itu beliau berhadapan dengan cabaran tidak mendapat sokongan penuh daripada pemimpin pertahanan negara dan kakitangan kerajaan bagi melaksanakan perubahan yang dirancang.

Polemik yang dimainkan pihak tentera bagi merampas kuasa yang turut mendapat sokongan Syeikhul Azhar menyaksikan kebejatan sistem politik Mesir yang sewenang - wenangnya dibonekakan. 

GAMIS berpandangan seharusnya SISTEM POLITIK MESIR PERLU DIROMBAK DARI AKAR UMBI supaya KUASA TENTERA TIDAK MENJADI ALAT untuk MEROBEK KEPUTUSAN PILIHAN RAKYAT.

Ini kerana, tidak mustahil selepas ini jika perlantikan Presiden masih juga tidak dipersetujui, maka rampasan kuasa oleh tentera akan terus berlaku sehingga menjejaskan kesejahteraan dan keamanan seluruh rakyat Mesir dalam jangka tempoh yang panjang.

Dalam hal rampasan kuasa ini, Barat dilihat menyokong tindakan tersebut walaupun demokrasi menjadi laungan mereka. Tetapi, sebaliknya yang berlaku, apabila Dr Morsi kelihatan melebar luas agenda Islam terutamanya isu Palestin. 

GAMIS turut menyokong tindakan parlimen Turki serta parti pembangkangnya yang tegas mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan tentera membelakangi prinsip demokrasi.
Wallahua'lam. Semoga kita semua sentiasa diberi petunjuk yang benar oleh Allah S.W.T dalam mencermati polemik krisis politik Mesir ini. Sama - sama kita kirimkan doa berterusan buat kekuatan spiritual rakyat Mesir disana.
 

Muhammad Azan bin Safar,
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia ( GAMIS ),
dan seluruh Saff Kepimpinan GAMIS 2012/2013.



No comments:

Post a Comment